AM

PHB Sumbang Perabot Bilik Darjah Baharu, Wujudkan Pembelajaran Kondusif Untuk 1,000 Pelajar

07/11/2025 11:49 AM

SUBANG JAYA, 7 Nov (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan komuniti dengan menyumbangkan 35 unit perabot bilik darjah baharu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar.

Melalui program The Good Builder dengan kerjasama EPIC Homes, lebih 30 warga PHB menyertai aktiviti sukarelawan membina perabot seperti meja, kerusi dan rak bagi kegunaan pelajar sekolah berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti serta pendidikan negara.

“Program ini amat dekat di hati kami kerana ia bukan sekadar memberi kembali kepada masyarakat, tetapi turut memupuk semangat kesukarelawanan dan nilai korporat kami iaitu Profesional, Harmoni dan Berani, dalam kalangan warga kerja kami,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini baru-baru ini.

Mohamad Damshal berkata usaha itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4, iaitu “Pendidikan Berkualiti”, yang menekankan kepentingan suasana pembelajaran kondusif bagi membantu pelajar lebih fokus dan selesa semasa belajar.

Beliau berkata PHB memilih untuk bekerjasama dengan EPIC Homes kerana organisasi itu mempunyai pengalaman luas dan program sukarelawan yang tersusun serta profesional, selaras dengan pendekatan PHB dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi.

Selain program The Good Builder,  PHB turut melaksanakan beberapa inisiatif berteraskan pendidikan termasuk memberi sumbangan melalui penyediaan tuisyen percuma kepada sekolah di kawasan pedalaman serta menjaga kebajikan lebih 70 pelajar kurang berkemampuan melalui usaha membaik pulih bumbung bangunan pembelajaran milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Buku Jalanan Chow Kit.

“Kami berharap sumbangan ini bukan sahaja memperbaiki kemudahan fizikal bangunan, tetapi juga menyemai semangat belajar dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Homes John-Son Oei berkata pihaknya membantu melatih sukarelawan PHB untuk menghasilkan perabot bilik darjah berkualiti melalui bimbingan dan latihan kemahiran asas pembinaan.

“Kami memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan dalam aspek penggunaan peralatan, teknik pengukuran dan proses pemasangan bagi memastikan setiap meja, kerusi dan rak yang dihasilkan kukuh serta selamat digunakan,” katanya.

Menurut Oei kerjasama dengan PHB membuktikan bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan organisasi sosial mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah perusahaan sosial, kami sentiasa berdepan kekangan sumber untuk memenuhi pelbagai keperluan komuniti. Jadi apabila syarikat seperti PHB tampil bekerjasama, ia benar-benar membantu kami memperluaskan capaian dan mengatasi lebih banyak isu sosial di luar sana,” katanya.

Seorang sukarelawan PHB Mohd Razman Mohd Sahimy, 33, berkata penyertaannya dalam program The Good Builder merupakan pengalaman baharu apabila beliau dapat menyumbang tenaga secara langsung kepada masyarakat.

“Biasanya kami bantu masyarakat melalui kerja di pejabat, tetapi kali ini kami turun sendiri bina perabot untuk pelajar sekolah. Semestinya, ia memberi satu kepuasan besar apabila dapat melihat hasil kerja kami bakal digunakan oleh murid setiap hari,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi sukarelawan, Siti Aisyah Mustapha, 40, berkata program itu bukan sahaja membantu masyarakat, malah meningkatkan kemahiran serta mengeratkan hubungan antara rakan sekerja.

“Saya sangat teruja dapat menyertai program CSR kali ini, kerana kita bukan sahaja dapat membantu komuniti tetapi juga dapat mempelajari sesuatu yang baharu.

“Selain itu, bagi saya aktiviti ini juga menyihatkan badan dan minda sebab pertama kita banyak bergerak dan kita pun rasa seronok sebab berpeluang bergaul dengan rakan sekerja dari jabatan yang lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan