SUKAN

Harimau Muda Tunjuk Petanda Positif Menjelang Piala Mandiri ASEAN - Nafuzi

05/07/2025 10:43 PM

SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) -- Skuad bola sepak bawah 23 tahun (B23) negara menunjukkan prestasi positif apabila berjaya menundukkan PDRM FC 1-0 dalam siri perlawanan persahabatan menjelang kejohanan Piala Mandiri ASEAN B-23 di Jakarta walaupun hanya empat hari berlatih bersama.  

Ketua Jurulatih Nafuzi Zain berkata perlawanan itu amat penting bagi barisan kejurulatihan menilai corak dan gaya permainan pemain khususnya dalam menerapkan pelbagai input daripada latihan singkat baru-baru ini.

"Meskipun belum sempurna, barisan pemain pada hari ini sangat positif apabila berjaya menterjemahkan segala arahan serta percaturan yang telah ditugaskan kepada mereka dan paling penting berjaya menghasilkan banyak peluang menjaringkan gol.

"Kita masih ada masa lagi untuk berlatih termasuk dua perlawanan persahabatan bagi menjalin persefahaman antara pemain di samping meningkatkan tahap kecergasan sebagai persediaan," katanya kepada pemberita di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Katanya setakat ini senarai kesebelasan utama menjelang kejohanan itu pada 15 Julai ini masih dalam proses penilaian dan ia bergantung kepada persembahan para pemain menerusi dua perlawanan persahabatan minggu ini.

Mengulas mengenai Piala Mandiri ASEAN B-23, Nafuzi berkata pasukan Harimau Muda teruja untuk beraksi dalam kejohanan itu terutamanya apabila dimaklumkan tiket perlawanan sudah habis terjual.

"Kami agak teruja untuk bermain di dalam Stadium Gelora Bung Karno yang penuh dengan peminat bola sepak. Pengalaman itu amat penting untuk mengingatkan kita untuk sentiasa bersedia mental dan fizikal.

"Apa yang boleh saya katakan data dan analisis dalam perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini sedikit sebanyak akan mencorakkan mutu persembahan kita di Jakarta nanti," katanya.

Skuad B23 negara bakal berdepan pasukan Melaka FC dan Negeri Sembilan masing-masing pada 8 dan 11 Julai sebagai aksi pemanas badan sebelum berlepas ke Indonesia.

Terdahulu, dalam perlawanan menentang PDRM FC hari ini, kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila terikat tanpa jaringan sebelum pemain tengah Harimau Muda Roshisham Haiqal meledak gol kemenangan pada minit ke-61.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan