KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Sekolah Taarana iaitu sebuah pusat pendidikan dan terapi untuk kanak kanak dengan masalah kognitif dan deria pada Sabtu lepas menganjurkan acara 'Walk for Autism' dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme.
Yayasan RYTHM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu merupakan satu usaha dan tindakan kolektif dalam memupuk kesedaran, pemahaman dan keterangkuman untuk individu di bawah spektrum autisme dan individu neurodiverse yang lain.
"Melalui dedikasi dan sokongan para peserta, sukarelawan dan penyokong yang tidak berbelah bagi, acara ini diharap dapat meningkatkan kesedaran yang penting dan meraikan pencapaian dan sumbangan mereka yang menghidap autisme,”menurut kenyataan itu.
Sekolah Taarana ditubuhkan di bawah naungan Yayasan RYTHM, inisiatif impak sosial Kumpulan QI iaitu sebuah konglomerat global.
Menurut kenyataan berkenaan, kira-kira 200 peserta berdaftar, termasuk wakil kumpulan QI, ibu bapa dan kanak-kanak dari Taarana menyertai aktiviti berjalan kaki selama 45 minit itu.
“Kemuncak acara itu bukan sekadar berjalan kaki tetapi lebih kepada untuk menikmati erti pencapaian luar biasa. Seramai 50 peserta terawal yang menyempurnakan larian itu diraikan dengan pingat atas pencapaian mereka dan e-sijil juga akan dihantar kepada semua peserta.
“Pengurus Urusan Kumpulan QI Kuna Senathirajah, Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Boey Kho, Pengarah Pemasaran dan Jualan Pathman Senathirajah, Pengetua Taarana Dr Sunitha Sivakumaran dan beberapa eksekutif kanan turut menyampaikan pingat,” menurut kenyataan itu.
Acara itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kiosk permainan, kiosk perkhidmatan yang juga menyediakan maklumat penting berkenaan terapi serta latihan kemahiran untuk peluang pekerjaan dan kebolehpasaran.
Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy dalam kenyataan yang sama berkata acara berkenaan merupakan bukti nyata kepada komitmen untuk memupuk komuniti yang berasaskan empati, pemahaman dan penerimaan, nilai yang dipupuk sejak sekian lama.
Ibu kepada seorang daripada pelajar Taarana, Siti Fatimah menekankan bahawa acara itu lebih daripada sekadar penyertaan semata-mata tetapi mengenai membina komuniti yang semua orang berasa dihargai.
"Inisiatif seperti ini sangat membantu dalam membentuk masyarakat yang lebih memahami dan menyokong anak-anak istimewa kita dan generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial