AM

JOSEPH KURUP PEMIMPIN YANG SETIA BERKHIDMAT UNTUK SABAH

17/04/2024 11:40 PM

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Pemergian Tan Sri Joseph Kurup, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur malam ini, merupakan kehilangan besar seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kecintaannya kepada negeri Sabah.

Joseph, 79, yang memiliki latar belakang sebagai pengamal undang-undang, dilahirkan di Tambunan pada 15 Dis 1944 dan menggengam Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Teknologi MARA serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London selain menjadi Barrister-at-Law di Inner Temple London.

Dalam arena politik, beliau menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 dan dilantik sebagai Setiausaha Agung setahun selepas itu sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook dalam Pilihan Raya Negeri pada 1985.

Beliau menjadi wakil rakyat Sook selama lima penggal atas tiket PBS dengan kali terakhir pada PRN Sabah 1994 sebelum menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan menjadi Presidennya.

Atas tiket PBRS, yang juga parti komponen Barisan Nasional, Joseph kembali menjadi wakil rakyat Sook pada PRN 2004 serta Ahli Parlimen Pensiangan selama dua penggal pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

Legasi mendiang diteruskan apabila anaknya Datuk Arthur Joseph Kurup dilipilih sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada PRU 2018 dan 2022 selain menggantikan beliau sebagai Presiden PBRS pada Januari 2023.

Joseph juga pernah memegang jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Sabah antaranya Timbalan Ketua Menteri dari 1989 hingga 1990 dan dilantik semula dari 1994 hingga 1999; Menteri Pertanian dan Perikanan (1985), Menteri Kewangan (1990) serta Menteri Belia dan Sukan (2003).

Beliau turut memainkan peranan penting di peringkat Persekutuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) pada 2013, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2009) serta Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (2008).

Mendiang juga cukup diingati apabila menjadi figura penting mengendalikan proses pengurusan jenazah bukan Islam rakyat Malaysia dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine pada 2014.

Joseph meninggalkan balu Puan Sri Melinda Mak dan enam anak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan