SUKAN

PROGRAM SEVEN WONDERS CHALLENGE NS GALAK GAYA HIDUP SIHAT, PROMOSI PELANCONGAN

17/04/2024 11:08 PM

SEREMBAN, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan program Seven Wonders Challenge: Road To Hari Sukan Negara 2024 yang bakal berlangsung selama tujuh bulan bermula April ini sekali gus mempromosi lokasi dan produk pelancongan setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mustapha Nagoor berkata ia juga sempena sambutan Hari Sukan Negara pada 12 Okt ini serta sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera pada September setiap tahun.

"Program berkonsepkan karnival sukan ini bermatlamat membudayakan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai dan pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan ekonomi setempat melalui pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong.

“Acara pertama program itu ialah mendaki Gunung Angsi pada 27 April ini," katanya pada Majlis Prapelancaran program itu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun. 

Beliau berkata setakat ini, penyertaan untuk program itu, yang menyasarkan 1,000 individu sepanjang tempoh ia berlangsung, mencecah 800 orang.

“Acara utama di Kuala Pilah, Seremban, Tampin, Jempol, Jelebu dan Rembau ialah mendaki puncak gunung serta bukit yang sering menjadi tumpuan orang ramai manakala di Port Dickson pula, akan diadakan acara larian selain acara sampingan lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan