JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DENGAN TANGAN KANAN , KEPALA TERPUTUS DITEMUI DALAM MESIN PEMBANCUH SIMEN

17/04/2024 08:49 PM

SHAH ALAM, 17 April (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di dalam mesin pembancuh simen di sebuah kilang membuat batu blok di Seksyen 35, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pada jam 11.44 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terjumpa satu mayat lelaki terapung dalam tangki berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepalanya terputus.

"Pemeriksaan oleh forensik Selangor juga mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian si mati. 

"Mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Iqbal berkata identiti lelaki itu telah dikenal pasti oleh waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mayat lelaki berusia lingkungan 50-an itu berjaya dikeluarkan dari dasar tangki berkeluasan 10 kaki tersebut pada jam 4 petang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan