AM

NRES KETUAI DELEGASI MALAYSIA KE INC-4

17/04/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengetuai delegasi Malaysia ke siri rundingan Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan keempat (INC-4) berlangsung di Ottawa, Kanada pada 23 hingga 29 April ini.

Siri rundingan itu bertujuan membangunkan instrumen antarabangsa yang mengikat secara sah mengenai isu pencemaran plastik termasuk terhadap persekitaran marin.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi hantaran di Facebooknya hari ini memaklumkan   Malaysia akan meneruskan penglibatan aktif semasa sesi rundingan Perjanjian Plastik Global dengan memastikan kepentingan negara tidak terjejas. 

“Pada masa sama, inisiatif kelestarian alam serta pembangunan ekonomi melalui peralihan yang adil akan diberikan perhatian serius selaras dengan dasar NRES mengenai plastik sekali guna dan kelestarian pengurusan plastik,” katanya.

Nik Nazmi turut memaklumkan satu Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan (NNC) berkaitan Perjanjian Plastik Global yang dipengerusikan oleh beliau turut diadakan semalam.

Mesyuarat yang disertai wakil kementerian, pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan merupakan satu platform libat urus bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan hala tuju negara ke arah Perjanjian Plastik Global, katanya.

Beliau berkata sehingga kini, Malaysia telah menghadiri beberapa siri rundingan antarabangsa berkaitan Perjanjian Plastik Global di peringkat INC.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan