JENAYAH & MAHKAMAH

PINJAMAN RM1.8 BILION DIPINDAHKAN KE LUAR NEGARA TANPA USAHA WAJAR - SAKSI

17/04/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd gagal melaksanakan usaha wajar ke atas RM1.8 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pertama, sebelum memindahkannya ke akaun luar pesisir yang didakwa untuk aktiviti pelaburan.

Bekas pengarah SRC International Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata tiada usaha wajar dilakukan kerana resolusi pekeliling (DCR) pengarah telah ditandatangani dan diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan perdana menteri dan juga menteri kewangan ketika itu.

Shahrol Azral berkata demikian ketika memberi keterangan selaku pihak ketiga dalam saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil.

“Saya merasakan saya perlu melakukannya kerana ia adalah arahan PM. Saya lebih suka jika mempunyai lebih maklumat, tetapi saya teruskan juga dan menandatanganinya. Ia bukan sekadar arahan, ia telah ditandatangani oleh PM dan bekas menteri kewangan dan pemegang saham 1MDB yang menjadikannya sangat kukuh.

“Kami cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh, tetapi apabila tiba untuk pelaksanaan, PM telah menandatanganinya… jadi kami terpaksa melakukannya. Jika PM fikir ia adalah idea yang baik, saya percaya pertimbangannya,” kata saksi itu ketika disoal peguam Najib Harvinderjit Singh.

Wang pinjaman itu telah dipindahkan kepada Falcon Private Bank Ltd di Switzerland dan Julius Baer di Hong Kong untuk kegunaan bagi memperoleh dua syarikat di Indonesia (PT ABM Investama dan Bumi Resources TBk PT) serta dua syarikat di Mongolia (Gobi Coal and Energy Limited dan Erdens-Tavan Tolgoi).

Dalam perbicaraan jenayah SRC pada 2019, bekas pengerusi SRC Tan Sri Ismee Ismail memberi keterangan bahawa Nik Faisal telah diarahkan oleh Najib untuk memindahkan wang itu dalam mesyuarat pada 7 Sept 2011.

SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa bahawa Najib telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat dan menyalahgunakan dana tersebut.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan supaya Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.

 Najib, 70, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan pada Januari tahun ini telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun serta denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 6 Mei pukul 9.30 pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan