AM

PEMBERIAN KONTRAK KEPADA HEITECH PADU DILAKUKAN SECARA TENDER TERBUKA - FAHMI

17/04/2024 07:07 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Pemberian kontrak MySikap Syarikat HeiTech Padu Bhd dilakukan secara tender terbuka dan tidak ada kaitan dengan situasi terkini pegangan saham syarikat itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Lembaga Tender Kementerian Pengangkutan telah meluluskan kontrak tersebut kepada syarikat berkenaan pada 24 Nov 2023 sebelum diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 2 Feb lepas.

“Pembelian saham oleh Syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd hanya berlaku pada 16 Mac, bermaksud keputusan untuk memberikan atau menganugerahkan tender kepada Syarikat HeiTech Padu telah diputuskan sejak tahun lalu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan sesetengah pihak yang berkata tender tersebut diberikan kepada syarikat itu disebabkan pemegang saham terbesar HeiTech Padu adalah bekas Setiausaha Politik Anwar iaitu Datuk Farhash Wafa Salvador.

Farhash muncul sebagai pemegang saham besar baharu HieTech pada Mac lepas dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut memberikan penjelasan yang mendalam berhubung perkara itu kepada Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa setakat ini, Syarikat HeiTech Padu tidak menerima apa-apa kelulusan baharu dalam mana-mana tender.

“Menteri Pengangkutan juga akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai tender tersebut hari ini... mana-mana pihak yang ingin memberi komen atau mengeluarkan kenyataan harus berpandukan kepada fakta,” katanya.

HeiTech Padu Bhd dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan syarikat itu sudah menerima surat lantikan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan tender bernilai RM190.01 juta.

Penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata tender tersebut adalah bagi perkhidmatan penyelenggaraan serta sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi selain sistem MySIKAP di semua pejabat JPJ.

Kontrak itu adalah bagi tempoh 36 bulan dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham HeiTech Padu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 dan seterusnya sehingga ia selesai.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan