AM

DVS TUBUH PASUKAN PETUGAS PANTAU LADANG SIMPAN TERNAKAN TIDAK DIKETAHUI PUNCA BEKALAN

17/04/2024 05:41 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menubuhkan pasukan petugas bagi mengesan ladang-ladang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan yang tidak diketahui punca bekalan.

DVS memaklumkan ladang-ladang yang dikenal pasti itu akan dipantau secara proaktif dari sudut tahap kesihatan ternakan dan sekiranya diuji positif pembawa penyakit, ia dikuarantin dan tindakan kawalan penyakit akan dibuat.

“Tindakan ini bagi mengekang penularan penyakit ternakan dan jangkitan penyakit zoonotik kepada orang ramai,” menurut DVS dalam kenyataan hari ini, merujuk isu penjualan kambing sama ada hidup atau disembelih yang tular kebelakangan ini.

DVS memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu melanggar perundangan veterinar terutamanya berkaitan pemindahan dan penyembelihan kambing.

“Perlu diberi perhatian, setiap pemindahan ternakan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Veterinar Negeri dan bagi tujuan penyembelihan perlu dilakukan di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan,” menurut kenyataan itu. 

Bagi memastikan pematuhan perundangan veterinar, DVS juga mendapat kerjasama agensi lain terutamanya dari polis dan Pasukan Gerakan Am sama ada melalui perkongsian maklumat mahupun tindakan penguatkuasaan.

“DVS mengambil perhatian peningkatan jualan kambing dengan harga luar biasa murah kerana dikhuatiri bekalan diperoleh daripada punca yang tidak dapat dikenal pasti status kesihatan ternakan berkenaan.

“Bagi ternakan yang dibawa masuk dari luar negara, proses kuarantin adalah diwajibkan bertujuan memastikan ternakan berkenaan benar-benar sihat,” menurut kenyataan itu.

Menurut DVS, ternakan tidak melalui proses kuarantin dan tidak diketahui status kesihatannya dikhuatiri boleh membawa pelbagai penyakit ternakan dan lebih membimbangkan penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia.

Penyakit zoonotik boleh merebak kepada manusia melalui kontak secara langsung dan tidak langsung dengan haiwan dijangkiti, pengambilan makanan dan melalui vektor seperti kutu, nyamuk dan lain-lain.

Antara penyakit zoonotik yang boleh tersebar melalui haiwan ternakan adalah anthrax, brucellosis, leptospirosis dan chlamydiosis, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan