AM

PUSAT KHIDMAT BANTUAN SUNGAI BULOH TELAH DIARAH BANTU MANGSA TERJEJAS BANJIR KILAT - RAMANAN

17/04/2024 12:26 AM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah diarah untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada individu terjejas akibat banjir kilat di kawasan itu petang tadi bagi meringankan beban mangsa.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R. Ramanan, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dalam hantaran di laman Facebook malam ini berkata sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian itu, beliau segera membuat lawatan serta meninjau keadaan semasa di kawasan terjejas.

Beliau berkata antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah.

"Setakat ini, sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak yang menempatkan lebih 100 mangsa terjejas.

"Saya turut menghubungi pegawai-pegawai dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan mangsa banjir diuruskan sebaik mungkin,” katanya.

Ramanan turut mengingatkan semua penduduk di Sungai Buloh supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga selain memantau anak-anak kecil, warga emas serta orang kurang upaya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan