JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BURU DUA LELAKI SAMUN KEDAI RUNCIT

16/04/2024 10:55 PM

SHAH ALAM, 16 April (Bernama) -- Polis memburu dua lelaki disyaki terlibat kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Kebun Baru, Telok Panglima Garang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Salleh berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada pemilik kedai itu pada 3 petang.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek memasuki kedai dengan menutup muka menggunakan baju yang dijadikan topeng, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.  

“Suspek yang bersenjatakan parang kemudian melarikan laci yang mengandungi wang tunai, dua tabung masjid dan satu telefon bimbit milik pekerja kedai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata siasatan awal mendapati kejadian itu menyebabkan pemilik kedai kerugian kira-kira RM3,000.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan