AM

KELEWATAN PEMBINAAN KOLAM SELAM TEMPUR : SUBKONTRAKTOR GAGAL LAKSANA KERJA JUBIN

16/04/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kegagalan subkontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja berkaitan jubin, menjadi punca projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor lambat disiapkan mengikut jadual sebelum ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata susulan itu, proses untuk melantik subkontraktor baharu sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui proses tender terbuka, bagi meneruskan kerja-kerja tersebut.

“Projek kolam selam tempur itu ada masalah dengan subkontraktor lantikan yang tidak dapat menjalankan kerja dan terpaksa cari pengganti.

“Kontraktor lantikan ini biasanya ada kepakaran dan keupayaan, tidak mudah untuk cari ganti, prosesnya perlu tender maka ambil masa. Kita dapat jaminan daripada JKR mengenai perkara ini diberi perhatian khusus... harap dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak ke Perumahan Projek SASaR (Satu Anggota Satu Rumah) di Sungai Besi di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata projek berkenaan kini telah 98.4 peratus siap.

Beliau berkata walaupun projek itu merupakan projek Kementerian Pertahanan, tetapi ia dikendalikan oleh JKR dan sekiranya berlaku kelewatan pembinaan, kontraktor yang terbabit akan dikenakan penalti.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Fasiliti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi itu, amat diperlukan anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman daripada domain maritim.

Sementara itu, susulan krisis yang melanda di Timur Tengah melibatkan Iran dan Israel, Mohamed Khaled berkata anggota dan pegawai pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 di Lubnan, dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

“Laporan yang kita terima, semua mereka berada dalam keadaan selamat...pasukan kita berkhidmat dan ditempatkan bukan di kawasan sempadan antara Lubnan dan Israel tetapi ke dalam sikit. Tetapi kita sentiasa memaklumkan kepada mereka untuk mengutamakan keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan