EKONOMI

MITI AKAN RANGKA PELAN STRATEGIK SEMIKONDUKTOR SECARA MENYELURUH - PM ANWAR

16/04/2024 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 3 tahun 2024 yang dipengerusikan beliau, awal hari ini.

Beliau berkata pelan strategik tersebut akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkat kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti utama dalam industri semikonduktor di Malaysia.

"Sayugia, hal ini penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia," kata beliau menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata mesyuarat MPN hari ini, antara lainnya, turut meneliti kedudukan semasa dan prospek masa hadapan negara bagi industri semikonduktor termasuk sokongan kepada pelbagai cadangan pengembangan yang telah diajukan kepada Perdana Menteri.

 "Mesyuarat juga telah meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju ia dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Perak.

"Ini merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan MADANI untuk mempercepat pembangunan KIGIP, yang dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara.

"Sementelahan pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi hantaran berasingan di laman Facebooknya berkata pelan strategik yang bakal dilancarkan itu adalah selari dengan inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)

"NIMP 2030 menetapkan pelaburan dalam aktiviti fabrikasi wafer sebagai salah satu projek bagi memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama sektor semikonduktor di rantau ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata pelan strategik yang bakal dirangka adalah penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk memindah atau menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi masing-masing ke Malaysia

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan