JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA LELAKI DITAHAN DISYAKI TERLIBAT SAMUN PENUNTUT IPT

16/04/2024 07:37 PM

MUAR, 16 April (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kejadian samun di kediaman penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Pagoh, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita menyatakan dia dan tiga rakan disamun oleh dua individu tidak dikenali pada 3 pagi semalam.

“Mangsa menyatakan tidak mampu melawan kerana suspek yang masuk ke dalam bilik mangsa telah mengacukan senjata tajam dipercayai pisau.

“Suspek kemudian melarikan diri setelah mengambil barang berharga milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kira-kira 9 pagi semalam, polis telah berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian itu di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Pagoh.

“Susulan penahanan itu, polis turut berjaya menahan dua lagi lelaki pada 11.40 malam di Kulai, disyaki turut terlibat dalam kes sama,” katanya menambah siasatan mendapati seorang daripada suspek turut menyewakan kenderaannya kepada dua yang lain.

Menurut Raiz Mukhliz polis merampas sejumlah barangan daripada kesemua lelaki itu antaranya seutas rantai emas, 17 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kereta pelbagai jenis, 24 pod vape, tiga komputer riba, dua tablet, sebilah pisau serta sepeket plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki syabu dianggar seberat 3.15 gram.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu didapati positif terhadap dadah selain dua daripadanya memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kesemuanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan