SUKAN

KELAB DARI THAILAND BAKAL UJI KEKUATAN KDNFC MALAM ESOK

16/04/2024 07:35 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Kekuatan pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) bakal diuji kelab dari Thailand, Pattani FC dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam esok

Penolong Ketua Jurulatih KDNFC Rezal Zambery Yahya berkata perlawanan itu bagi menilai kemampuan pemainnya menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang dijadualkan bermula Mei ini.

Beliau berkata pada perlawanan pramusim itu, KDNFC mahu memberi tumpuan kepada keserasian barisan pemain selepas lebih sebulan menjalani sesi latihan.

"Ia ujian untuk pemain kerana malam esok merupakan perlawanan pertama kami untuk musim ini lebih-lebih lagi apabila hampir 80 peratus pemain yang menyertai pasukan musim ini adalah muka baharu.

"Walaupun Pattani FC bermain pada saingan divisyen ketiga Liga Thailand, mutu permainan pasukan itu sangat berkualiti dan perlu diberi tumpuan oleh pemain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya barisan jurulatih KDNFC akan menerapkan beberapa corak permainan dan gandingan pemain bagi memberi cabaran kepada pasukan lawan malam esok.

"Memang ini perlawanan ujian untuk pemain tetapi kami lebih fokus untuk melihat keserasian, jadi kami akan cuba beberapa gandingan," katanya.

Beliau berkata setakat ini persiapan pasukan berjalan seperti biasa selepas kembali daripada cuti Aidilfitri malah kesemua pemain berada dalam keadaan baik.

Menurutnya pihak kejurulatihan KDNFC merancang strategi agar semua pemain dapat menyesuaikan diri dan segera mencipta keserasian terutamanya bagi pemain import yang baru menyertai pasukan itu sekali gus memastikan perancangan pasukan berjalan lancar. 

Rezal Zambery berkata pasukannya telah melakukan persiapan sebaik mungkin bagi memberi cabaran kepada pasukan lain yang beraksi pada siangan Liga M musim ini.

"Pada perlawanan pembukaan liga 11 Mei ini kita akan bertemu pasukan Sri Pahang FC yang merupakan antara pasukan terbaik terutamanya dalam Liga Super," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan