JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH RAYUAN TETAPKAN 9 JULAI UNTUK DENGAR PERMOHONAN MUHYIDDIN

16/04/2024 01:22 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Mahkamah juga pada hari yang sama akan mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Muhyiddin itu dengan alasan permintaannya remeh dan ia menyalahgunakan proses mahkamah.

Tarikh berkenaan ditetapkan hari ini susulan pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama berkata ketika pengurusan kes, pihak pembelaan telah memohon bagi mendapatkan panel lima hakim untuk mendengar permohonan Muhyiddin.

Hisyam berkata penolong pendaftar kanan itu bagaimanapun meminta mereka menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bagi menimbangkan permohonan itu.

Muhyiddin yang turut diwakili tujuh peguam lain termasuk Datuk K. Kumaraendran dan Chetan Jethwani, memfailkan permohonan itu pada 27 Mac lepas bagi memohon mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini dalam mengembalikan semula empat pertuduhan terhadapnya (Muhyiddin ) yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam notis usulnya Muhyiddin berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin, 76, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan