AM

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI PERINGKAT KEBANGSAAN DI KOTA KINABALU SABTU INI

16/04/2024 01:06 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada Sabtu ini di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri Sabah itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 merupakan platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni.

“Perayaan Aidilfitri telah menjadi satu perayaan yang menyatukan hati dan merapatkan ikatan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tradisi rumah terbuka, dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan agama berkumpul untuk berkongsi kebahagiaan dan keceriaan, telah menjadi satu kebiasaan yang diwarisi dari generasi ke generasi,” katanya.

Beliau berkata Sambutan Aidilfitri yang bertemakan ‘Perpaduan Melalui Perayaan’ itu wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh Bangsa Malaysia serta dijadikan teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.

Aaron berkata majlis itu turut menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang akan disambut pada bulan Mei depan, dan orang ramai dijemput beramai-ramai memeriahkannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan