KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pertubuhan dalam masyarakat sivil (CSO) dan media di Malaysia bekerjasama memperkenalkan gerakan #MZB365 atau "Maaf Zahir Batin Hari-hari", bertujuan melawan ungkapan kebencian etnik-agama serta menggalakkan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari.
Menurut kenyataan bersama CSO-Media, gerakan #MZB365 menekankan kepentingan amalan itu merentasi pelbagai kepercayaan dan latar belakang budaya, termasuk Islam, Budha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan komuniti orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengangkat amalan 'maaf zahir batin’ ke tahap yang lebih tinggi.
"Mari kita lazimkan amalan memohon dan memberikan keampunan sepanjang tahun, tidak terhad pada perayaan Aidilfitri dan bulan Syawal, tetapi dari awal Muharam sehingga akhir Zulhijjah, dari 1 Januari hingga 31 Disember, sepanjang 365 hari setahun," menurut kenyataan itu hari ini.
Berdasarkan kejayaan gerakan #KitaJagaKita semasa pandemik COVID-19 melanda negara beberapa tahun lepas, kenyataan itu menggesa rakyat Malaysia menjayakan #MZB365 untuk melawan kebencian.
"Memberi maaf kepada mereka yang ikhlas memohon maaf sebenarnya memperkuat kita dan masyarakat secara keseluruhan. Ia membina pendamaian, mengurangkan salah faham, menghapuskan benci dendam dan mengeratkan silaturahim sesama manusia," menurut kenyataan itu.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian dalam kempen gerakan itu ialah Projek SAMA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial