EKONOMI

Unit Axiata Jual Semua Pegangannya Dalam Edotco Myanmar Pada Harga Rm713.03 Juta, Keluar Dari Myanmar

04/04/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 April  (Bernama) -- Axiata Group Bhd melalui anak syarikat tidak langsungnya merancang untuk melupuskan seluruh pegangan dalam Edotco Myanmar Ltd pada harga RM713.03 juta, menandakan Axiata keluar dari pasaran Myanmar.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata edotco Investments (Labuan) Ltd, anak syarikat milik penuh Edotco Group Sdn Bhd, yang seterusnya merupakan anak syarikat 63 peratus Axiata, hari ini memeterai perjanjian pembelian saham untuk pelupusan keseluruhan 87.5 peratus kepentingannya dalam Edotco Investments Singapore Pte Ltd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan tujuan khas untuk pelaburan Edotco di Myanmar dan pemegang saham tunggal Edotco Myanmar Ltd.

“Modal daripada cadangan pelupusan di Myanmar, adalah sejajar dengan komitmen Axiata untuk mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh dan meningkatkan nilai pemegang saham serta akan digunakan semula untuk mengurangkan hutang,” katanya.

Syarikat telekomunikasi itu berkata keputusan untuk keluar daripada pasaran itu dikaitkan dengan kemerosotan makroekonomi dan persekitaran operasi di negara tersebut.

Axiata yang tidak mendedahkan pembeli berkata lembaga pengarahnya selepas mempertimbangkan semua aspek berpendapat bahawa cadangan pelupusan di Myanmar adalah demi kepentingan terbaik Axiata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan