EKONOMI

Acmf: Tingkatkan Kesalinghubungan, Kemampanan Dan Daya Tahan Di Seluruh Pasaran Modal Asean

15/03/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Forum Pasaran Modal Asean (ACMF) yang menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya tahun ini mengadakan Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-40 pada Jumaat, yang dihoskan oleh Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Laos (LSCO).

Menurutnya mesyuarat itu memaklumkan bahawa status pelaksanaan Pelan Hala Tuju ACMF untuk Pasaran Modal Mampan Asean (2020-2025) atau Pelan Hala Tuju ACMF, dengan kemajuan 15 Pengesyoran Hala Tuju ACMF dijangka melebihi 90 peratus tahun ini.

“ACMF juga berharap dapat memulakan penilaian jangka akhir Pelan Tindakan ACMF 2021-2025 dan pembangunan Pelan Tindakan ACMF 2026-2030,” jelasnya dalam kenyataan.

Piawaian Bon Hijau, Sosial, Kemampanan dan Berkaitan Kemampanan Asean masing-masing telah diperkenalkan pada 2017, 2018 dan 2022.

Sehingga 12 Feb, 2024  bon/sukuk berlabel Asean bernilai US$47.46 bilion (US$1=RM4.70) telah diterbitkan, menurut ACMF.

Mesyuarat itu juga mengesahkan sokongan berterusan terhadap kerja Lembaga Taksonomi Asean (ATB), termasuk bagi pembangunan Taksonomi Asean Versi 3, memandangkan ATB berusaha untuk melengkapkan kriteria saringan teknikal bagi sektor tumpuan taksonomi secara berperingkat.

Bagi mencapai tujuan itu, ACMF memutuskan untuk melantik semula Brunei Darussalam Central Bank dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai wakil ACMF bagi tempoh keahlian ATB mulai 31 Mac, 2024 hingga 30 Mac, 2026.

Mesyuarat itu, antara lain, memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan IFRS-Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) menerusi dialog peringkat tinggi antara kedua-dua pihak mengenai pembangunan pelaporan kemampanan di rantau ini.

Mesyuarat juga mahu meneruskan usaha jaringan dan pertukaran pengalaman mengenai Aset Digital oleh ahli.

Penguasa Kewangan Singapura berkongsi perkembangan terkini mengenai langkah pengawalseliaan untuk Perkhidmatan Token Pembayaran Digital di Singapura manakala SC memaklumkan mengenai Perkembangan Pasaran Aset Digital di Malaysia.

ACMF ialah kumpulan pengawal selia pasaran modal peringkat tinggi dari semua 10 negara Asean iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ACMF kini dipengerusikan oleh Laos, dan Pengerusi ACMF seterusnya ialah SC.

Maklumat lanjut mengenai ACMF dan inisiatifnya boleh didapati di laman web ACMF di www.theacmf.org.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan