KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) dan A-Look Eyewear Group mengumumkan kerjasama strategik bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang komprehensif dan berkualiti kepada masyarakat di sekitar Lembah Klang.
SMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi usaha sama tersebut organisasi itu akan bekerjasama menganjurkan inisiatif kesedaran awam mengenai kesihatan mata sambil menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan mata secara berkala.
“Antara program yang bakal dianjurkan ialah penyediaan perkhidmatan penjagaan mata seperti pemeriksaan kesihatan mata dan pemberian cermin mata percuma kepada komuniti yang memerlukan, dengan fokus terhadap anak-anak yatim dan penduduk Orang Asli yang menetap di kawasan terpencil.
“Selain itu, kerjasama strategik ini juga bertujuan memudahkan pelanggan A-Look Eyewear Group melalui proses rujukan dengan lancar serta mendapat akses perkhidmatan penjagaan mata yang khusus di Pusat Mata Sunway, menerusi talian bantuan khas yang disediakan kepada pengamal penjagaan mata A-Look, sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut SMC pesakit juga mempunyai akses kepada perubatan penjagaan mata serta produk optik apabila diperlukan bagi mencegah buta akibat penyakit seperti retinopati diabetik dan glaukoma menerusi intervensi awal.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata Pusat Mata Sunway ialah satu daripada 28 Pusat Kecemerlangan di SMC yang memainkan peranan penting dalam ekosistem pusat perubatan tersebut.
“Berpandukan prinsip sinergi, kerjasama strategik ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi sebagai pusat rujukan pilihan bagi A-Look Eyewear Group, SMC menawarkan perkhidmatan penjagaan mata yang menyeluruh kepada komuniti serta memastikan akses yang pantas ke Pusat Mata Sunway yang kini merupakan pusat rujukan pilihan A-Look,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan A-Look Eyewear Group Datuk Terry Ngeow berkata misi pihaknya adalah untuk menyediakan cermin mata yang bukan sahaja bergaya dan inovatif, malah turut mengutamakan kesejahteraan holistik pelanggan.
“Kerjasama strategik dengan Pusat Mata Sunway yang sememangnya terkenal dengan kepakaran dan komitmen yang utuh terhadap penjagaan mata, adalah selari dengan nilai kami iaitu memastikan kualiti dan kepuasan pelanggan.
“Kami akan berganding bahu untuk meletakkan penanda aras bagi standard kesihatan mata dan kecemerlangan cermin mata, menggabungkan kedua-dua komponen ini demi meningkatkan kesihatan mata bagi mendapat penglihatan yang jelas,” katanya.
Menurutnya kerjasama itu juga menjanjikan perkhidmatan terbaik seperti cermin mata yang berkualiti tinggi dan setiap individu diberi layanan istimewa sekali gus memberi kesan berpanjangan kepada komuniti mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial