YAN, 4 Mac (Bernama) -- Semua pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) digalakkan menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dalam projek guna semula jerami yang melibatkan aktiviti penggulungan jerami sebagai alternatif kepada kaedah pembakaran.
Pengurus Wilayah IV MADA Siti Syaheeda Sobbihi berkata ketika ini terdapat 100,685 hektar kawasan tanaman padi di kawasan MADA yang berpotensi menghasilkan lebih kurang 500,000 tan jerami padi.
"Bermula dari 2021 hingga 2023, pengeluaran jerami padi di kawasan MADA mencapai jumlah 15,000 tan dengan nilai jualan sebanyak RM3 juta. Jumlah itu melibatkan kawasan penanaman padi seluas 10,330 hektar dengan hampir 5,000 pesawah di Kedah dan Perlis.
"Pihak MADA mendapati aktiviti sampingan seperti projek guna semula jerami ini mampu membantu menjana pendapatan tambahan kepada PPK dan pesawah terlibat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya PPK dan pesawah menyertai projek berkenaan, secara tidak langsung ia juga dapat mengurangkan pembakaran jerami terbuka dan pengurusan sisa jerami di sawah dilakukan dengan lebih efektif serta efisien.
"Sekarang musim kemarau, jadi sesuai untuk buat penggulungan jerami. Ini bagi mengelakkan pesawah melakukan pembakaran secara terbuka sekali gus memelihara alam sekitar daripada tercemar dan mengelakkan insiden kemalangan jalan raya akibat asap daripada pembakaran.
“Sebab itu, MADA buat pelbagai aktiviti untuk mempromosikan projek guna semula jerami padi. Kita mahu mendidik pesawah dan antara caranya adalah dengan mengadakan program serta menguar-uarkan bahawa PPK MADA mempunyai mesin dan kelengkapan yang baik untuk menguruskan projek ini,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Siti Syaheeda tidak semua PPK mempunyai mesin serta kelengkapan tersebut, dan setakat ini terdapat 12 PPK yang menjalankan aktiviti pengumpulan jerami padi iaitu PPK Kayang, Tambun Tulang, Kodiang, Sanglang, Kerpan, Tunjang, Kepala Batas, Hutan Kampung, Kobah, Pendang, Batas Paip, Pengkalan Kundor dan Sungai Limau Dalam.
Dalam pada itu, beliau berkata pesawah yang terlibat dalam projek itu dan membenarkan PPK membuat penggulungan jerami padi akan diberikan pemotongan tunggul padi atau 'slashing' secara percuma dan ia membantu menjimatkan kos operasi pengurusan sawah sekitar RM70 per hektar.
"Hasil jerami yang diperoleh oleh PPK ini kemudiannya akan dijual kepada pembeli berpotensi yang kebanyakannya pengusaha ternakan. Bagaimanapun, sekiranya ada pesawah yang berminat untuk menjadi usahawan jerami gulung, mereka boleh mendaftar sebagai usahawan bimbingan MADA dan berpotensi mendapat bantuan mesin penggulung kecil atau ‘mini baler’.
"Bagi menarik minat pesawah dan orang ramai, MADA juga menganjurkan pameran Jerami Castle MADA@Jerai Geopark yang berlangsung bermula 1 Mac lepas hingga esok dari 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti dijalankan seperti sesi bergambar dengan replika dan produk jerami padi, menunggang kuda, memanah serta jualan makanan dan produk," katanya.
Sementara itu, Darus Ismail, 66, dari Kampung Sungai Kering, di sini berkata beliau terlibat dengan projek guna semula jerami sejak 2007 selepas PPK di kawasannya memperoleh mesin penggulung jerami.
Menurutnya projek tersebut berupaya menambah pendapatan kepada PPK F-IV Sungai Limau Dalam, walaupun hanya dapat dilakukan ketika musim kemarau.
"Apabila sertai projek ini, manfaat yang diperoleh antaranya dapat membantu kami menghapuskan bakteria yang menyerang padi apabila jerami tersebut dibuat kutipan melalui penggulungan. Ia juga membantu menambah pendapatan PPK sekali gus memberi manfaat kepada ahli-ahli melalui dividen, jadi pesawah lain boleh sertai projek ini," katanya.
Pengunjung pameran Jerami Castle MADA, Muhammad Hafirul Izham Hashim, 32, dari Teluk Intan, Perak pula berkata beliau mengetahui mengenai pameran itu melalui media sosial dan teruja untuk datang melihat jerami gulung yang ada di situ bersama keluarganya.
"Seronok tengok pelbagai bentuk jerami yang ada di sini, tidak sangka ada mesin dan teknologi yang boleh digunakan untuk membuat jerami gulung. Pameran ini boleh menjadi tarikan pelancongan yang baharu dan pada masa sama dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan jerami, padi dan mesin," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial