EKONOMI

MOSTI, AGENSI PERDAGANGAN SCOTLAND BEKERJASAMA ANJUR PROGRAM TECHNOMART MALAYSIA-SCOTLAND

19/02/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) telah bekerjasama dengan Scottish Development International (SDI) menganjurkan Program TechnoMart Malaysia-Scotland.

Scottish Development International (SDI) adalah agensi perdagangan dan pelaburan luar yang bertujuan mempromosikan Scotland sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan.

Program tersebut telah diadakan selama dua hari bertempat di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya pada 13 Feb dan di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur pada 14 Feb lalu.

Melalui satu kenyataan hari ini, MOSTI menyatakan program itu turut dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Space Industry Consortium (MASIC).

“Ia bertujuan untuk membina peluang dan meneroka kerjasama industri dalam bidang angkasa di antara pihak Malaysia dan Scotland yang disokong sepenuhnya oleh United Kingdom.

“Pengisian program melibatkan sesi bengkel yang membincangkan lima topik utama bidang angkasa iaitu Aplikasi Angkasa, Operasi Angkasa, Pembuatan Angkasa, Pembiayaan dan Tadbir Urus dan Akademia diikuti dengan pembentangan, pembentangan idea dan sesi suai padanan perniagaan,” katanya.

MOSTI berkata sebanyak 22 delegasi dari Scotland yang terdiri daripada lapan syarikat terkemuka dan dua universiti termasyhur adalah antara peserta yang terlibat dalam program itu.

“Penyertaan dari Malaysia melibatkan 60 peserta yang terdiri daripada enam agensi kerajaan, 12 syarikat dan 10 universiti tempatan,” katanya.

Menurut MOSTI, hasil pelaksanaan program itu telah mengenal pasti sembilan projek yang berpotensi besar untuk dibangunkan melalui kerjasama strategik kedua-dua negara.

“Ia meliputi aspek pembangunan penyelesaian berasaskan satelit dalam bidang perhubungan, pertanian dan penentu kedudukan (tiga projek), penyediaan perkhidmatan pelancaran dan pengoperasian (tiga projek) serta penyelidikan dan pembangunan teknologi satelit bersama pihak akademik (tiga projek).

“Teknologi pembuatan termaju dalam bidang angkasa turut dikenal pasti sebagai salah satu potensi kerjasama strategik berdasarkan ketersediaan industri elektrik dan elektronik (E&E) dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan