AM

Konvokesyen Unirazak Ke-22 Rai 744 Graduan

11/12/2023 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (bernama) -- Seramai 744 graduan yang mendaftar semasa kemuncak wabak COVID-19 menerima skrol masing-masing pada majlis Konvokesyen Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) ke-22 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Annur Syafira Khairus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor dengan mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan Certified Practising Accountant (CPA) Australia.

Selain itu, dua ijazah anumerta telah disampaikan kepada keluarga mendiang Raj Deep Kaur dan Allahyarham Amirul Salamat.

UNIRAZAK dalam kenyataan memaklumkan sorotan kelas 2023 tertumpu kepada dua kumpulan istimewa  - golongan pekerja  dewasa dan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah.

Menurutnya universiti amat mengalu-alukan warga pekerja untuk meningkatkan kemahiran, mengembangkan pengetahuan dan mendalami kepakaran mereka dalam bidang pilihan masing-masing melalui Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Program APEL merupakan satu laluan alternatif  kepada tawaran pendidikan UNIRAZAK bagi pelajar matang pada sebarang peringkat umur dan kehidupan.

"UNIRAZAK menawarkan laluan pendidikan tinggi yang inovatif dan alternatif bagi mereka yang mungkin menangguhkan pengajian lanjut atas pelbagai sebab, termasuk kekangan kewangan, keadaan kesihatan, komitmen keluarga atau faktor lain.

Menurut universiti berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan syarikat pelaburan negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar berpotensi yang menghadapi masalah kewangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu serta melabur dalam bakat muda.

Pro Canselor UNIRAZAK, Datuk Mohamed Nizam Tun Abdul Razak, berkata tema pilihan untuk konvokesyen, "Memperkasakan Impian," memiliki makna yang istimewa tahun ini susulan universiti itu telah menerokai  bidang baharu dalam pendidikan.

Menurutnya, tema tersebut merupakan bukti kepada daya tahan dan komitmen universiti untuk menyediakan persekitaran yang dinamik dan ekosistem dalam membantu pelajar mencapai aspirasi akademik mereka.

Dalam kenyataan sama, Naib Canselor, Prof Datin Paduka Dr Samsinar Md Sidin memuji ketabahan kelas 2023 dalam menamatkan pengajian dan mengesahkan komitmen UNIRAZAK terhadap kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.

Samsinar berkata 2023 merupakan tahun yang luar biasa bagi UNIRAZAK kerana pelajarnya telah meningkat hampir 20 peratus berbanding 2022 dan 91 peratus pelajar mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Walaupun menghadapi cabaran dalam landskap pekerjaan, UNIRAZAK ternyata berjaya melahirkan graduan yang serba lengkap dan dicari oleh majikan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan