AM

Kenali Kebaya Dalam Pameran Rahsia Kebaya

10/11/2023 09:47 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Sepasang kebaya gergasi berwarna kuning setinggi 8.3 meter (m) dan mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai Kebaya Perlis Terbesar pada 10 Nov 2013, adalah antara tarikan dalam Pameran Rahsia Kebaya, di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, di sini.

Kebaya tradisional itu yang menggunakan kain sepanjang 341m disiapkan dalam tempoh 15 hari, adalah hasil kreativiti dan kegigihan pensyarah serta pelajar Kolej Komuniti Arau, Perlis dan pernah dipamerkan sempena program Kebaya Fest Road To Milan.

Pameran Rahsia Kebaya menampilkan 60 koleksi kebaya merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia yang berlangsung sehingga 31 Dis ini.

Turut dipamerkan, sepasang baju kebaya Kota Bharu diperbuat daripada kain renda atau lace, dipadankan dengan kain sarung ikatan jarik wiron dan dipakai bersama korset, menjadi kostum pilihan bagi filem Dendam Pontianak dan Showtime 1958 yang masing-masing digayakan artis terkenal Nur Fazura dan Fatin Afeefa pada 2019 dan 2020.

Turut menjadi perhatian, sepasang baju kebaya pendek berpotongan moden yang menjadi pakaian rasmi Pramugari Malaysia Airlines, hasil rekaan Jabatan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1986 dan kekal digayakan sehingga hari ini.

Tidak ketinggalan, koleksi baju kebaya pernah digunakan kerabat Diraja antaranya baju kebaya labuh berusia 90 tahun milik Che Manjalara yang dipinjam dari Lembaga Muzium Negeri Kedah dan sepersalinan baju kebaya labuh milik Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja dikurniakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Muzium Tekstil Negara Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata Pameran Rahsia Kebaya bertujuan mendukung peranan dan usaha kerajaan dalam mengangkat dan memartabatkan busana itu ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Senarai Nilai Budaya Warisan Kemanusiaan.

“Kebaya merupakan pakaian mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam) dan lain-lain masyarakat di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Secara tidak langsung, pameran ini dapat dijadikan platform untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda tentang keunikan dan keindahan baju kebaya yang dipakai oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, pameran itu  memaparkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana kebaya yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia menerusi lima segmen utama iaitu Kebaya Warisan Dulu, Kini dan Selamanya, Potongan Gaya Kebaya, Kelengkapan Berkebaya, Kelestarian Kebaya dan Kebaya Mata Dunia.

“Sejak sekian lama, baju kebaya sangat popular dalam kalangan bangsawan dan rakyat jelata serta merupakan pakaian pilihan apabila menghadiri acara formal dan tidak formal.

“Keunikan dan identiti busana ini dapat dilihat melalui potongan dan reka bentuknya. Potongan asasnya adalah berbelah dan berpesak di hadapan, berlengan panjang dan disemat dengan kerongsang,” katanya yang menyasarkan 10,000 kehadiran pengunjung.

Intan Rahimah berkata perkembangan pemakaian baju kebaya membawa kepada kemunculan variasi kebaya dikategorikan sebagai kebaya tradisional, kebaya moden dan kebaya fesyen yang kekal hingga hari ini.

“Kebaya tradisional atau kebaya labuh mempunyai potongan longgar dan lurus, berpesak di hadapan, berkekek, berlengan panjang dan lebar manakala kebaya moden mempunyai potongan lebih ringkas dan pendek hingga paras pinggul, tidak berpesak dan tidak berkekek namun masih berlengan panjang,” katanya. 

Selain itu, pameran itu turut memperlihatkan aksesori dan perhiasan diri yang menjadi tarikan serta penyeri kepada si pemakai seperti  gelang tangan, rantai leher, cucuk sanggul, subang, cincin, kerongsang, pending dan tali pinggang.

Pekerja swasta Intan Liyana Samsuddin, 30, berkata pameran itu menjadi nilai tambah kepadanya bagi mengenali kepelbagaian baju kebaya di negara ini.

“Melalui pameran ini, barulah saya tahu kebaya ada pelbagai jenis dan potongan dengan nama yang berlainan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan