KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- SPX Express (SPX), rakan logistik Shopee meraikan kempen ‘SPX Delivers Love’ sepanjang bulan ini, dengan mengajak pengguna menyapa dan mengucapkan terima kasih kepada penghantar kurier ketika bungkusan mereka sampai di tangan serta memberi testimoni di media sosial.
Shopee dalam kenyataannya hari ini memaklumkan menerusi kempen itu juga, SPX akan memberi hadiah sebagai tanda penghargaan kepada pekerja berprestasi cemerlang semasa kemuncak Shopee 11.11 Jualan Hebat.
“Setakat ini, syarikat telah menerima lebih 2,000 testimoni positif dan gambar daripada pelanggan yang mengucapkan terima kasih kepada kurier sama ada secara peribadi atau melalui mesej teks kerana komitmen mereka menghantar bungkusan dengan selamat dan pada waktu ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu kempen itu dilangsungkan selepas setahun SPX menunaikan janjinya untuk meningkatkan perkhidmatan logistik, membolehkan sistem automasi dan pencapaian 130 hab di seluruh negara.
Rangkaian logistik SPX memastikan penjual kecil-kecilan tempatan dan bebas, jenama dan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan penghantaran yang boleh dipercayai, mampu milik dan efisien tanpa mengira lokasi.
“Menerusi teknologi dalaman yang membolehkan pengagihan automatik di Pusat Pengagihan SPX Express di Pulau Indah (Selangor) dan komitmen penuh komuniti SPX yang semakin berkembang dengan kurier serta pengagih daripada pelbagai latar belakang, penjual boleh mengharapkan penghantaran lebih pantas daripada biasa untuk pesanan e-dagang pada masa depan,” menurut Shopee.
Menurut kenyataan itu sejak 2021, SPX komited dalam mempromosikan keterangkuman di tempat kerja, melancarkan inisiatif yang membawa fleksibiliti dan memupuk pembinaan komuniti dalam kalangan pengagih, kurier, ‘rider’, penyelia dan ketua syif.
“SPX juga telah menunjukkan rekodnya dalam menyokong wanita, dengan 40 kali ganda peningkatan dalam pengambilan pekerja wanita di bahagaian pengurusan dan operasi. Terkini, SPX merekodkan 40 peratus pengagih dan 13 peratus kurier adalah wanita,” menurut Shopee.
Menerusi kenyataan sama, Ketua SPX Malaysia Cheah Lee Sun berkata khidmat kurier syarikat itu adalah tulang belakang kepada infrastruktur logistik yang membantu ramai penjual dalam ekonomi digital Malaysia.
“Justeru, kami menggalakkan orang ramai meluangkan beberapa minit mengucapkan terima kasih kepada kurier yang telah banyak berkorban dan memandu ke kawasan terpencil tidak kira hujan atau panas, untuk membina hubungan kuat dengan komuniti yang kami sediakan perkhidmatan,” kata Cheah.
Sementara itu, pemandu kurier sepenuh masa di hab SPX Subang Bestari, Siti Nurul Shakila yang memegang Lesen Memandu Vokasional (GDL) dan memandu lori Luton untuk menghantar bungkusan kepada komuniti Setia Alam, berkata waktu kerja fleksibel membolehkan dia menyusun masa untuk menjaga kakak yang sakit.
“Walau apa pun, saya akan pastikan KPI (indeks perestasi utama) harian dapat dicapai dengan kesemua bungkusan dihantar kepada pelanggan,” katanya.
Berkongsi pengalaman kerjanya, Siti Nurul Shakila berkata secara purata dia menghantar 200 bungkusan setiap hari ke rumah, pejabat dan pangsapuri.
“Jumlah ini mungkin meningkat semasa waktu kemuncak seperti pada ‘Jualan Pay Day’. Walaupun mempunyai jumlah bungkusan yang banyak, saya sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan khususnya dalam aspek mengendalikan bungkusan dan ingat setiap kecenderungan serta arahan pelanggan.
“Saya amat mengutamakan perkara ini kerana ia membantu membina hubungan dan kepercayaan dengan pelanggan semasa menghantar bungkusan,” katanya.
Bagi yang ingin turut menunjukkan penghargaan kepada kurier SPX apabila menerima bungkusan terutama sempena Shopee 11.11 Jualan Hebat yang bermula sekarang hingga 14 Nov, boleh layari https://spx.com.my/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial