SUNGAI BESAR, 20 Okt (Bernama) -- Pasukan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dinobat johan Pertandingan Akhir Debat Statistik Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Siri ke-2 selepas menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pertandingan anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam itu diadakan bersempena Hari Statistik Negara 2023 yang disambut pada setiap 20 Okt.
Tema pertandingan kali ini adalah berkaitan ‘Pasaran Buruh’ dan pertandingan itu disertai 14 pasukan daripada 14 IPT.
Pusingan awal pertandingan berlangsung di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak pada 6 hingga 8 Okt lepas.
Program itu diadakan bagi menggalakkan pemikiran kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa tentang isu berkaitan pasaran buruh melalui penyampaian hujah secara rasional serta penganalisian data dan fakta sekali gus meningkatkan penggunaan statistik yang dikeluarkan oleh DOSM.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata debat statistik yang dianjurkan pada kali ini dilihat berjaya menampilkan keupayaan peserta berdebat menggunakan fakta dan data dengan lebih baik berbanding pertandingan sebelum ini.
“Kita mahu bila mereka (peserta) memberikan hujahan itu dengan kebolehan menghubungkaitkan data, bukan hanya dari aspek tenaga buruh tetapi juga data berkenaan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan sebagainya.
“Jadi kita mahu mereka melihat konteks perdebatan itu dengan lebih luas, pada masa hadapan saya rasa mereka ada ruang untuk memperbaiki perdebatan,” katanya kepada pemberita pada pertandingan itu.
Mengenai minat masyarakat tempatan berkaitan penggunaan data, katanya sehingga kini portal OpenDOSM yang dilancarkan DOSM sejak pada 12 Jan lepas telah mencapai sejuta tontonan.
“OpenDOSM ini dibuka untuk pengguna biasa dan pihak yang terlibat dengan penyelidikan. Kita mendapat banyak maklum balas termasuk daripada golongan usahawan yang menyatakan perkhidmatan itu telah membantu perniagaan mereka,” katanya.
Mohd Uzir berkata untuk masa hadapan, DOSM sedang meneliti beberapa teknologi bersesuaian untuk membuat kutipan data berkaitan topografi bagi memperoleh maklumat termasuk berkaitan jenis tanaman dan pertanian di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial