EKONOMI

Sektor E&e Dijangka Capai Sasaran Nilai Tambah Rm120 Bilion Menjelang 2025 – Mpc

25/09/2023 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) optimis industri elektrik dan elektronik (E&E) akan meneruskan trajektori menaiknya untuk mencapai sasaran nilai tambah RM120 bilion menjelang 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, MPC berkata nilai eksport barangan E&E bejumlah RM593 bilion pada 2022, melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sebanyak RM495 bilion.

Nilai tambah sektor itu mencecah RM113.2 bilion pada 2022 berbanding RM86.1 bilion pada permulaan RMKe-12.

“Malaysia kini mengutamakan aktiviti bahagian hadapan bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk kejuruteraan dan fabrikasi wafer, justeru, terdapat peluang untuk industri berkenaan meningkatkan ekosistemnya kepada rantaian nilai.

“Untuk memudahkan pertumbuhan, adalah penting untuk membangunkan lebih banyak syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan industri dan seterusnya menjadi peneraju global, terutamanya dalam automasi untuk semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu,” kata kenyataan itu.

Ia berkata Neksus Produktiviti Elektrik dan Elektronik (EEPN) telah menyahut seruan itu dengan memulakan beberapa program untuk meletakkan syarikat dan tenaga kerja tempatan di bawah tonggak EEPN.

Langkah ini adalah untuk memberi tumpuan pada rantaian nilai E&E, ekosistem, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, bakat dan kepimpinan serta kemampanan serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

MPC, melalui EEPN dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, berkata ia mengalu-alukan penstrukturan semula ekonomi yang menggunakan inisiatif  Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV) 3 yang memfokuskan pada industri E&E bernilai tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menekankan inisiatif itu semasa usul yang dibentangkan pada Kajian Separuh Penggal RMKe-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat.

Industri E&E ialah sektor keutamaan dalam pelbagai rangka kerja ekonomi seperti RMKe-12, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Aspirasi Pelaburan Negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, kemajuan teknologi dan daya saing global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan