EKONOMI

Nimp 2030 Akan Dibentang Dalam Mesyuarat Kabinet Esok

22/08/2023 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok untuk diluluskan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika meninjau persiapan akhir NIMP 2030 di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini turut bersetuju pelan itu dibentangkan akhir bulan ini. 

Perdana Menteri turut memberi input kepada pasukan bertugas yang menyediakan NIMP 2030, kata Tengku Zafrul.

“Hasil taklimat NIMP 2030 tersebut akan dibawa kepada mesyuarat kabinet esok bagi mendapat  mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Perdana Menteri bersetuju bahawa NIMP 2030 akan dibentangkan pada akhir bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan tersebut.

Terdahulu, Anwar tiba MITI di sini pukul 2.30 petang dan meluangkan masa lebih 30 minit mendengar taklimat komprehensif mengenai pelan oleh Tengku Zafrul.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan Malaysia. 

Sementara itu MITI dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata ia sedang memuktamadkan NIMP 2030, yang merupakan usaha pelbagai kementerian, pelbagai pihak berkepentingan yang bakal meningkatkan kedudukan industri Malaysia dalam rantaian nilai global. 

Inisiatif senegara dengan pendekatan berasaskan misi (berbanding berasaskan sektor) bertujuan untuk mentransformasi sektor perindustrian untuk membantu Malaysia mencapai kepelbagaian ekonomi (economic complexity) yang lebih tinggi; pendigitalan/automasi secara agresif; matlamat karbon-sifar dan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.

“Ia seterusnya akan membina kapasiti operasi dan ESG industri kita untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dari segi menarik pelaburan, dengan kesan limpahan positif kepada ekonomi terutamanya daripada segi meningkatkan kedudukan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia dalam rantaian nilai global dan menyediakan pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat. 

“Selain itu, ia akan memangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih mampan dan inklusif, menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada masa depan,” kata MITI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan