SUKAN

Nssu Diminta Beri Cadangan Pada Sesi Pascanilai Sukan Sea Kemboja 2023

07/07/2023 01:15 AM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun, diminta mengemukakan cadangan penambahbaikan pada sesi pascanilai (post-mortem) prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 yang bermula di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Sesi pascanilai selama dua hari itu berikutan pencapaian terburuk kontinjen negara di temasya dwitahunan itu disertai oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan, Prof. Ito Masamitsu dan Prof Madya Fumihiko Iwahara dari Fakulti Sains Sukan NSSU.

MSN, menerusi kenyataan, hari ini, memaklumkan, wakil universiti yang merupakan model negara dalam usaha meningkatkan prestasi sukan tanah air itu turut diminta mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi temasya sukan itu pada masa akan datang. 

Selain MSN dan NSSU, sesi pascanilai itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, 38 wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

 “Sesi dua hari ini juga bertujuan untuk mencari solusi dan cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan tahap prestasi atlet untuk persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 nanti,” menurut kenyataan itu.

Kepakaran NSSU sudah terbukti dengan pencapaian melahirkan 137 pemenang pingat termasuk 41 pingat emas keseluruhan untuk kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik

Di Sukan SEA Kemboja 2023, Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40-37-64.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan