AM

Dua Lagi Jemaah Haji Negara Meninggal Dunia

02/07/2023 10:02 AM

MAKKAH, 2 Julai (Bernama) -- Dua jemaah haji lelaki meninggal dunia Jumaat lepas (30 Jun), menjadikan keseluruhan empat jemaah haji negara meninggal dunia setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kematian lelaki berusia 72 dan 60 tahun itu masing-masing disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru serta serangan angin ahmar dan kegagalan jantung.

"Kedua-dua jemaah haji ini antara tiga orang yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwuquf kerana berada di dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau turut memaklumkan 95 jemaah haji berada di pusat rawatan Tabung Haji (TH) Makkah dan 15 lagi di hospital Arab Saudi.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji, berakhir secara rasmi setelah kesemua jemaah Malaysia yang berada di Mina sudah kembali semula ke Makkah.

Beliau berkata 13,219 jemaah haji atau 56 peratus telah meninggalkan Mina pada Jumaat selepas melakukan nafar awal, manakala selebihnya bergerak balik ke Makkah bermula 6.23 pagi semalam setelah melaksanakan nafar thani.

Katanya jemaah haji negara akan mula berangkat pulang ke tanah air Rabu ini (5 Julai) dan penerbangan akhir dijangkakan pada 31 Julai melibatkan keseluruhan 98 penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan