AM

Duta Mcfeeters Hoskan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-247 As Di Kl

27/06/2023 10:58 PM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Brian McFeeters pada Selasa menjadi tuan rumah majlis sambutan awal Hari Kemerdekaan ke-247 AS yang disambut pada 4 Julai setiap tahun.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai tetamu kehormat yang mewakili kerajaan Malaysia, serta kira-kira 1,000 tetamu termasuk ketua misi asing, diplomat, pegawai kerajaan Malaysia dan pemimpin perniagaan.

Nik Nazmi dan McFeeters turut meraikan kejayaan dan kemakmuran kedua-dua negara serta untuk Presiden AS Joe Biden dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

McFeeters dalam ucapannya berkata tema acara itu - Merah, Putih, Biru dan Hijau - adalah mengenai planet, melindungi alam sekitar, menangani krisis iklim dan memastikan kelestarian bumi.

Diplomat itu berkata kesan perubahan iklim tidak dapat dinafikan, dengan akibat yang teruk seperti banjir tragis di Malaysia dan kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di AS.

“Mesej utama saya kepada anda semua ialah saya melihat sebab untuk optimis. Optimisme kerana kerajaan, perniagaan dan individu di seluruh dunia sedang mengambil langkah penting untuk menangani perubahan iklim,” katanya.

Memetik Malaysia sebagai contoh, McFeeters berkata kerajaan meningkatkan sasaran untuk penjanaan tenaga boleh baharu dan Malaysia juga mempunyai potensi sebenar untuk menjadi peneraju global dalam penangkapan dan penyimpanan karbon.

“Saya optimis kerana Malaysia menganjurkan Minggu Tenaga Asia 2023 sekarang, dengan usahawan dan wakil dari seluruh dunia, termasuk Penolong Setiausaha Jabatan Tenaga AS Brad Crabtree, untuk memberi tumpuan kepada peralihan tenaga yang diperlukan.

McFeeters berkata peralihan tenaga juga sedang dijalankan di AS, dengan solar dan angin kini menyediakan lebih banyak kuasa elektrik daripada arang batu, sambil menambah bahawa syarikat AS di Malaysia juga boleh memainkan peranan penting dalam cabaran ini.

Beberapa contoh usaha syarikat Amerika untuk memacu inovasi dalam teknologi hijau turut dipamerkan pada majlis tersebut.

Acara itu dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh Pasukan Ekspedisi Marin III.

Tarikh 4 Julai menandakan ulang tahun ke-247 pengisytiharan kemerdekaan Amerika Syarikat dan disambut setiap tahun sebagai cuti umum di AS.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan