KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Boustead Plantations Bhd (BPlant) optimis prospek syarikat akan bertambah baik dalam tempoh jangka panjang menerusi penyepaduan berterusan pendigitalan dan mekanisasi merentas operasinya di tengah-tengah ketidaktentuan dan kemeruapan pasaran.
Pengarah bukan bebas bukan eksekutifnya Izaddeen Daud berkata kumpulan itu akan terus meningkatkan hasil dan kecekapan operasinya selain menambah baik kecekapan kos untuk memacu pertumbuhan mampan.
“Pada masa depan, BPlant mempunyai strategi yang mantap didorong oleh pasukan yang berkebolehan.
“Di samping mendokong piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus, syarikat komited mengharungi landskap yang mencabar dan memanfaatkan nilai untuk pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-110 Bplant yang diadakan secara maya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut menyaksikan pemilihan semula Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azizan Md Delin dan Izaddeen sebagai ahli lembaga pengarah, manakala semua resolusi lain turut diluluskan dengan sewajarnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022, Bplant mencatatkan hasil lebih baik sebanyak RM1.2 bilion, yang tertinggi sejak penyenaraiannya pada 2014.
“Keuntungan selepas cukai dan zakat meningkat kepada RM589 juta, manakala keuntungan sebelum cukai dan zakat melonjak lebih dua kali ganda kepada RM729 juta.
“Keputusan yang bertambah baik ini disumbang terutamanya daripada harga produk sawit yang tinggi pada separuh pertama 2022, serta keuntungan yang direalisasikan daripada penjualan tanah,” tambahnya.
Kumpulan itu baru-baru ini mengisytiharkan dividen interim single tier sebanyak 1.0 sen sesaham untuk tahun fiskal berakhir 31 Dis 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial