IPOH, 10 Jun (Bernama) -- Hubungan bandar raya persahabatan antara Ipoh dan Nanning, China sejak 2005 memberi banyak impak positif dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan serta sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata tujuan mengwujudkan hubungan persahabatan adalah bagi memperkukuh dan memajukan perkongsian serta kerjasama antara kedua-dua bandar raya bagi mempromosi kesefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China.
"Antaranya Festival Seni Lagu Rakyat Antarabangsa Nanning dan Ekspo Asia China, Forum Datuk Bandar Asia serta lawatan rasmi dan kunjungan hormat.
"Pihak Nanning juga telah banyak membantu memberi sumbangan barangan keperluan untuk kesihatan semasa tempoh penularan COVID-19 antaranya dua unit alat bantuan pernafasan yang disumbangkan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya pada majlis menandatangani memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) Bandar raya Persahabatan antara Bandaraya Nanning, China dengan bandar raya Ipoh di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, MoU tersebut ditandatangani oleh Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin mewakili Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala bandar raya Nanning diwakili Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negara Nanning Huang Haiyan dengan disaksikan Sandrea.
Pada 1 April 2005, Datuk Bandar Ipoh ketika itu, Datuk Hassan Nawawi Abd Rahman telah menandatangani surat perjanjian MoU bersama Timbalan Datuk Bandar Nanning Xiao Yingzi di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial