KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) telah mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities untuk penyenaraian dan sebut harga bagi 32.26 juta saham baharu AAX yang akan diterbitkan berdasarkan cadangan penempatan di Pasaran Utama bursa saham itu.
Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, AAX menjelaskan 32.26 juta saham itu mewakili kira-kira 7.78 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat.
Sebelum ini, syarikat sekutu AirAsia itu mengumumkan bahawa ia merancang untuk mengumpul RM50 juta melalui langkah korporat bagi membolehkannya membiayai keperluan modal kerja kumpulan.
Penempatan saham itu adalah sesuai pada masanya dan strategik dalam usaha mengumpul dana terutama untuk digunakan bagi mengaktifkan semula dan mengekalkan kumpulan pesawat, menurut syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu.
Penempatan itu akan menjadi langkah pengumpulan dana ekuiti pertama syarikat sejak 2015, memandangkan AAX terus menilai prestasi operasi dan kewangan serta kedayamajuan pelan penyusunan semua PN17.
Pada penutupan dagangan hari ini, saham AAX meningkat 5.33 peratus kepada RM1.78 dengan 6.97 juta saham bertukar tangan.
Keuntungan bersih AAX bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023 berjumlah RM327.99 juta berbanding keuntungan luar biasa RM33.62 bilion yang dicatatkannya tahun lepas dalam tempoh 18 bulan susulan selesainya penyusunan semula hutang syarikat.
Perolehan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu meningkat kepada RM548.84 juta daripada RM113.02 juta pada tempoh yang sama apabila perjalanan antarabangsa pulih.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial