Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 2 Jun (Bernama) -- Cabaran negara pada kejohanan badminton Terbuka Thailand berakhir pada peringkat suku akhir selepas pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao, dikecewakan dalam ‘straight set’ oleh lawan masing-masing di Stadium Tertutup Huamak di sini, hari ini.
Selepas melakukan kejutan menewaskan pilihan pertama dari Taiwan, Chow Tien Chen, 23-21, 23-21, semalan, Tze Yong, gagal meneruskan momentum apabila tunduk kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 19-21, 21-23 dalam pertarungan selama 53 minit.
Jun Hao pula turut tersingkir apabila pemain India, Lakshya Sen merakamkan kemenangan kedua dalam tiga pertemuan dengan keputusan 21-19, 21-11.
Tze Yong, 23, pemain ranking ke-24 dunia, membuka langkah dengan baik apabila mendahului Cheuk Yiu 15-11 sebelum lawannya yang menghuni ranking ke-17 dunia terus mengejar kutipan mata sebelum kedudukan terikat 15-15 dan kemudian 19-19 sebelum set pertama menjadi niliknya dengan kemenangan 21-19.
Pada set kedua, senario sama berulang apabila Tze Yong mendahului selesa 14-5 sebelum Cheuk Yiu memperagakan semangat juang tinggi untuk bangkit dan mengikat kedudukan 16-16 dan kemudian 21-21.
Cheuk Yiu mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan kemenangan 23-21.
“Saya gagal merebut peluang ini,” kata Tze Yong yang jelas kecewa selepas perlawanan tersebut.
Dalam pada itu Jun Hao, turut mendahului 16-10 pada set pertama sebelum Lakshya, pemain raking ke-23 dunia, menampilkan aksi cemerlang untuk menang 21-19 dan pada set kedua, mudah melengkapkan aksi dengan kemenangan 21-11.
“Ia adalah perlawanan yang mengecewakan. Saya mendahului dalam set pertama tetapi saya terlepas peluang. Bagaimanapun, dia mengubah gaya permainannya dan saya mula kehilangan mata penting.
“Dalam set kedua saya tidak menyerang dengan baik dan keyakinan saya berkurangan ketika permainan berlangsung,” katanya kepada Bernama.
Jun Hao akan beraksi pada Terbuka Taiwan dari 20 hingga 25 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial