AM

Kesedar Pacu Pembangunan Inklusif Luar Bandar Sejahtera Generasi Kedua

28/05/2023 11:09 AM

GUA MUSANG, 28 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan terus menyediakan kemudahan infrastruktur dan ameniti sosial kepada generasi kedua peneroka dalam usaha memacu pembangunan yang inklusif dan luar bandar sejahtera sejajar dengan Dasar Pembangunan Negara.

Pengurus Besar Kesedar Dr Shahrir Mohammad Zakey berkata pihaknya sentiasa komited untuk meningkatkan taraf sosioekonomi generasi kedua Kesedar bagi membasmi kemiskinan tegar serta mengecilkan jurang pembangunan antara kawasan.

Katanya, tiga langkah utama sedang diusahakan oleh Kesedar untuk menyelesaikan urusan pembahagian lot ladang (geran individu) kepada peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di jajahan Gua Musang seperti menyelesaikan urusan permohonan milik dengan kerajaan negeri yang masih berbaki tiga lot seluas 511.8 hektar dengan 83 peneroka berada di lot berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga sedang menyelesaikan urusan pembayaran tanah yang masih berbaki RM52.32 juta kepada Pesuruhjaya Tanah Kelantan melibatkan tujuh lot seluas 903 hektar melibatkan seramai 158 peneroka berada di lot-lot terbabit.

"Kita juga melaksanakan permohonan pecah sempadan 31 lot milik Kesedar supaya lot tersebut menjadi lot-lot individu untuk peneroka dan sehingga kini sebanyak 1,128 hak milik lot ladang peneroka berjaya disediakan hasil daripada proses permohonan pecah sempadan tersebut," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata melalui Projek Pemajuan Kawasan (PPK) RKT Paloh 2, sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membina 93 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) termasuk pembinaan kemudahan asas yang lengkap seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air serta taman permainan kanak-kanak dan projek itu akan mengambil masa pembinaan selama dua tahun selepas mendapat kelulusan penuh pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan kira-kira pertengahan tahun ini. 

"Selain itu, Projek Pertumbuhan Desa (PPD) di RKT Sungai Asap baru sahaja diluluskan tahun ini dengan sasaran pembangunan kemudahan infrastruktur perumahan mampu milik kepada 100 generasi kedua dengan peruntukan sebanyak RM20.7 juta dan dijangka siap pada 2026.

"Pusat Pertumbuhan Desa Paloh yang diluluskan pada 2021 turut menyediakan infrastruktur perumahan mampu milik kepada 190 generasi kedua Kesedar termasuk 60 unit lot perniagaan dan 50 unit lot Industri Kecil dan Sederhana," katanya.

Beliau berkata sejak penubuhan Kesedar pada 1978, sebanyak RM137 juta dibelanjakan untuk pembinaan 1,724 rumah bina baharu dan 8,696 rumah dibaik pulih meliputi jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

"Bermula 2019, Kesedar telah mempraktikkan penggunaan teknologi Sistem Binaan Industri (IBS) dalam pembinaan rumah bina baharu membabitkan dua jenis sistem yang digunakan iaitu Sistem Kerangka Keluli dan Sistem Konkrit Pasang Siap.

"Kedua-dua jenis sistem ini menelan kos sebanyak RM66,000 bagi satu unit rumah … ia pilihan terbaik bukan sahaja dapat menjimatkan kos masa dan kos pembinaan sesebuah rumah, malah juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan