AM

Orang Asli Kuala Boh Akan Nikmati Rangkaian Komunikasi Lebih Baik

25/05/2023 09:34 AM

KUANTAN, 25 Mei (Bernama) -- Lebih 600 penduduk di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands bakal menikmati rangkaian komunikasi dan talian Internet lebih baik apabila menara telekomunikasi di kampung itu beroperasi sepenuhnya Julai ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multmedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata menara itu dibina syarikat Edotco Group Sdn Bhd dan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) semalam. 

"CelomDigi merupakan syarikat dilantik untuk melakukan kerja selanjutnya yang merangkumi pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik sehingga kepada pengaktifan perkhidmatan 4G," katanya menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya. 

Perkhidmatan Internet dan 4G yang tidak memuaskan di perkampungan itu pernah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada kunjungan Seri Paduka ke situ pada Januari lepas. 

Fadzli berkata buat masa ini, pihak MEASAT menyediakan perkhidmatan 4G secara interim menggunakan teknologi satelit bagi menampung keperluan penduduk sehingga menara itu beroperasi. 

Pada kenyataan itu, Fadzli berkata 53 daripada 270 menara telekomunikasi baharu di Pahang menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dan beroperasi, manakala bakinya dijadualkan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan