EKONOMI

Ipo Synergy House Terlebih Langgan Sebanyak 14 Kali

22/05/2023 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Synergy House Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyaksikan 25.0 juta sahamnya di bawah terbitan awam permulaan (IPO) telah terlebih langganan sebanyak 14.02 kali.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, peniaga e-dagang serta pengeksport perabot itu berkata ia menerima sebanyak 12,347 permohonan untuk 375.42 juta saham IPO bernilai RM161.43 juta daripada orang awam.

Synergy House dijadual disenaraikan di Pasaran ACE pada 1 Jun, 2023, dengan harga terbitan 43 sen sesaham.

Bagi bahagian Bumiputera, Synergy berkata pihaknya telah menerima sebanyak 7,277 permohonan bagi 164.16 juta saham-saham IPO yang juga terlebih langganan pada kadar 12.13 kali.

“Baki bahagian awam Malaysia menyaksikan sebanyak 5,070 permohonan untuk 211.26 juta saham IPO telah diterima iaitu terlebih langganan sebanyak 15.90 kali,” katanya.

Syarikat itu berkata sebanyak 12.50 juta saham IPO khusus untuk permohonan oleh mereka yang layak telah dilanggan sepenuhnya manakala 30.0 juta saham IPO yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dipenuhi.

“Sejumlah 62.50 juta saham IPO yang dibuat menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga telah dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Synergy House telah menyasarkan untuk mengumpulkan sebanyak RM34.4 juta menerusi IPO bagi pembelian inventori dan forklift untuk pusat penunaian e-dagangnya di Johor.

Syarikat berkenaan juga merancang untuk menggunakan hasil yang dikumpulkan itu bagi pembayaran semula pinjaman, menampung keperluan pengiklanan dan promosi, modal kerja dan kos penyenaraian.

Kenanga Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk bagi IPO tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan