EKONOMI

Perjanjian CPTPP tidak beri impak negatif kepada sektor pertanian - MITI

01/03/2023 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang berkuat kuasa 29 November tahun lepas tidak memberi impak negatif kepada sektor pertanian, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata perjanjian CPTPP menjamin hak dan kepentingan petani tempatan dimana perjanjian tersebut merupakan satu-satunya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.

“Adalah jelas bahawa perjanjian CPTPP tidak memberi impak negatif kepada sektor pertanian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang ingin tahu pendirian kementerian berhubung isu CPTPP yang memberi impak kepada sektor pertanian negara.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk barangan makanan agar stok makanan mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini.

Malah, perjanjian CPTPP juga tidak akan menjejaskan program-program bantuan kerajaan termasuk subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport.

“Dakwaan bahawa perjanjian CPTPP ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport untuk barangan makanan asas seperti ayam tidak betul,” katanya.

Selain itu, beliau berkata perjanjian CPTPP juga tidak akan melibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian secara mendadak.

“Sememangnya Malaysia bergantung kepada import barangan pertanian dimana lebih 50 peratus keperluan makanan tempatan seperti daging kambing dan lembu dipenuhi melalui sumber import. 

“Bagi 2020, purata duti import bagi barangan pertanian adalah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi tahun 2021,” katanya.

Pada masa yang sama, Malaysia telah diberikan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang iaitu 16 tahun bagi tujuan pengurangan dan penghapusan duti import termasuk barangan pertanian.

“Tambahan pula, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam dan telur di bawah CPTPP, dan masih boleh mengekalkan sistem kuota Kadar Tarif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan