AM

Taman tema Tanjung Tualang tidak guna dana kerajaan negeri - Saarani

16/02/2023 05:08 PM

IPOH, 16 Feb (Bernama) -- Taman tema Tanjung Tualang di Batu Gajah dibina secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) dan bukannya menggunakan dana kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata taman tema berkenaan dibina bertujuan menjana pendapatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5).

"Taman tema itu dibina di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan ia dibina tidak menggunakan mana-mana sumber kerajaan negeri atau duit rakyat.

"Taman tema merupakan sebahagian produk sedia ada di situ seperti Maze Garden serta petting zoo (zoo haiwan jinak) bagi menjana pendapatan memulihara kapal korek berkenaan. Bagaimanapun, taman tema itu akan diuruskan oleh MB Inc nanti," katanya pada sidang media pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Anuar Zainal Abidin berkata kerja-kerja pembangunan itu telah dimulakan sejak setahun lepas dan ia dijangka dilancarkan pada Jun depan. 

"Anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, Tafi Home & Office Sdn Bhd (yang membina taman tema itu) bukan anak syarikat kerajaan negeri tetapi ia rakan usahasama kami sahaja," katanya.

Semalam, anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn Bhd bagi membina, menguji dan memasang, menyiap dan menyerahkan kerja taman tema di Tanjong Tualang, Perak.

Kontrak RM11 juta itu mempunyai tempoh 18 bulan dari 15 Feb 2023 hingga 14 Ogos 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan