EKONOMI

Matrade, MECD, SME Bank bekerjasama bawa PKS Malaysia ke Dubai untuk misi eksport

15/02/2023 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Bank sedang menganjurkan penyertaan 11 syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata EAM diadakan bersempena Gulfood 2023 yang berlangsung dari 18 hingga 25 Februari, 2023 dengan objektif untuk mempamerkan keupayaan dan kepakaran Malaysia dalam menyediakan produk dan perkhidmatan F&B bertaraf dunia.

Matlamatnya juga adalah untuk membolehkan syarikat meneroka pasaran global khususnya rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan berinteraksi dengan pembeli terkemuka.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Abu Bakar Yusof berkata agensi itu pada tahun ini terus mengukuhkan kerjasama strategik dengan KUSKOP dan SME Bank dalam melaksanakan program berkaitan eksport.

“Peranan sebagai pelengkap yang disandang oleh penggiat ekosistem eksport ini akan memudahkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan jejak global mereka.

“EAM ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport Malaysia kepada 25 peratus menjelang tahun 2025, seiring dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Bagi tahun 2022, sebanyak empat inisiatif telah dijalankan di bawah kerjasama KUSKOP dan SME Bank, membantu 42 PKS daripada pelbagai sektor termasuk F&B, penjagaan kesihatan, ICT, minyak dan gas serta mampu menjana sebanyak RM242.1 juta jualan eksport, kata MATRADE.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan