PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol kekal bagi tempoh 8 Feb hingga 7 Mac ini, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90, yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2023.
“Secara umumnya, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah pada Januari berbanding bulan sebelumnya.
"Walau bagaimanapun, berdasarkan rundingan yang diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh berkenaan,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial