KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) melonjak kepada RM782.66 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022 daripada RM495.85 juta setahun sebelumnya.
Hasil untuk tahun kewangan 2022 meningkat 24.6 peratus kepada RM1.46 bilion daripada RM1.17 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku keempat 2022, keuntungan bersih syarikat itu meningkat hampir empat kali ganda kepada RM279.47 juta daripada RM70.33 juta pada suku keempat 2021 manakala perolehan meningkat kepada RM414.26 juta daripada RM348.17 juta sebelumnya disokong oleh pemulihan yang kukuh dalam segmen runcit dan hotel.
KLCCP dalam satu kenyataan berkata segmen runcit mengekalkan momentum pemulihan dan mencatatkan menokok sebanyak 4.5 peratus dalam hasil daripada RM120.0 juta kepada RM125.4 juta, disumbangkan oleh peningkatan jualan runcit dan jualan penyewa yang lebih kukuh.
Selain itu, pemulihan yang ketara dalam segmen hotel menyaksikan pendapatan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM49.1 juta disebabkan oleh pelancongan domestik bertambah baik, peningkatan trafik masa lapang antarabangsa dan permintaan untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Md Shah Mahmood berkata keputusan suku keempat yang positif kumpulan itu mencerminkan daya tahan perniagaannya lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang mencabar.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, tindakan strategik kami telah membolehkan kami meneruskan pemulihan dan prestasi yang kukuh, didorong oleh permintaan yang kukuh. Usaha kami untuk meluaskan jangkauan dan tawaran kami telah membuahkan hasil yang positif.
“Kami kini berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan momentum pemulihan kerana aktiviti perniagaan telah mula berkembang pesat khususnya dalam segmen runcit dan hospitaliti yang akan meningkatkan lagi prestasi kami pada masa hadapan,” katanya.
Syarikat itu akan mengagihkan dividen interim keempat sebanyak 7.69 sen sesaham biasa pada 28 Februari, 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial