AM

Tadbir urus yang baik harapan baharu untuk banteras rasuah - TI Malaysia

31/01/2023 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengamalkan tadbir urus yang baik, ketelusan, integriti dan prinsip akauntabiliti demokrasi dalam pentadbirannya, memberi harapan baharu untuk Malaysia memerangi rasuah.

Presiden TI-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata kerajaan Anwar dibentuk pada November 2022 dengan keutamaan yang jelas dinyatakan.

“Beliau (Anwar) menekankan kedudukan fiskal negara yang tidak menentu yang memerlukan perhatian segera.

“Perdana Menteri juga menyatakan komitmennya untuk mengamalkan tadbir urus yang baik, ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam kerajaannya. TI-Malaysia percaya bahawa kedua-dua matlamat itu saling berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 di sini hari ini.

Muhammad berkata harapan Perdana Menteri perlu diterjemahkan kepada tindakan yang boleh diukur yang menghasilkan keputusan yang diinginkan jika semua pihak mahu melihat skor CPI Malaysia bertambah baik.

Beliau berkata dengan mengurangkan rasuah, ketirisan, pembaziran dan projek yang tidak berdaya maju akan membantu meningkatkan kedudukan fiskal Malaysia.

“Langkah itu juga akan menjadikan Malaysia destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan asing,” kata Muhammad.

Beliau berkata sektor awam yang mengamalkan tadbir urus baik juga akan diterjemahkan kepada skor CPI yang lebih baik untuk Malaysia terus bergerak ke hadapan.

 Sementara itu mengenai CPI 2022, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan 61 daripada 180 negara berbanding tangga 62 pada 2021. 

Bagaimanapun, skor CPI Malaysia 2022 merosot kepada 47 mata. Skala 0 (sifar) dianggap sangat korup manakala 100 dianggap sangat bersih, kata Muhammad.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan