DUNIA

Australia-Indo-Pacific Endeavour 2022 kembali ke Malaysia berkongsi ilmu, penglibatan

07/11/2022 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Aktiviti penglibatan serantau Australia-Indo-Pacific Endeavour 2022 kembali ke Malaysia untuk beberapa siri aktiviti ketenteraan dalam meningkatkan saling boleh kendali melalui latihan kemanusiaan dan bantuan bencana serta bengkel latihan dari 7 hingga 9 Nov.

“Indo-Pacific Endeavour 2022 mewakili satu daripada aktiviti pertahanan dua hala dan pelbagai hala yang telah lama dilaksanakan Australia dan Malaysia.

“Ini termasuk lebih 50 tahun sumbangan bersama terhadap Five Power Defence Arrangements,” kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee.

Beliau berkata lawatan HMAS Adelaide dan HMAS Anzac sebagai pusat Indo-Pacific Endeavour 22, merupakan komitmen mendalam Australia terhadap tonggak pertahanan Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Kapal-kapal ini dan keupayaannya mencerminkan sokongan Australia untuk Indo-Pasifik yang terbuka, inklusif dan makmur, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan ASEAN sebagai terasnya manakala keutamaan kami berikan untuk mengukuhkan lagi perkongsian dengan pasukan pertahanan di seluruh negara di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kemuncak aktiviti tahun ini ialah Latihan Kecemasan Perubatan di atas kapal HMAS Adelaide dan kru Angkatan Pertahanan Australia serta Angkatan Tentera Malaysia akan bekerjasama dalam simulasi kecemasan perubatan.

Minggu lalu, sembilan anggota Angkatan Tentera Malaysia menyertai HMAS Adelaide untuk berintegrasi dengan syarikat kapal itu bagi berkongsi kepakaran merentasi pelbagai bidang termasuk perubatan ketenteraan dan penjagaan mangsa tempur, menurut kenyataan itu.

Aktiviti lain yang akan dijalankan termasuk pameran Industri Pertahanan, lawatan Imam Tentera Laut Diraja Australia ke Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Sidang Meja Bulat Wanita, Keamanan dan Keselamatan bersama Duta Australia untuk Wanita dan Gadis, Christine Clarke CSC, penglibatan dengan Pasukan Sempadan Australia dan Polis Persekutuan Australia mengenai isu penyeludupan manusia.

Perbincangan mengenai isu keselamatan maritim semasa dengan pelbagai badan pemikir dan pakar dasar Malaysia juga akan diadakan.

“Malaysia antara rakan pertahanan terpenting Australia dan Indo-Pacific Endeavour satu daripada cara kami mengukuhkan hubungan ini.

“Aktiviti ini menyatukan rakyat kita untuk saling belajar sambil membina perkongsian penting dalam bidang ketenteraan dan seluruh kerajaan yang akan membantu memastikan wilayah kita terbuka, inklusif dan berdaya tahan,” kata Komander IPE22, Commodore Mal Wise.

Indo-Pacific Endeavour 2022 telah melawat 10 negara di rantau Asia Tenggara dan Lautan Hindi Timur Laut sejak akhir September lalu.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan