KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Betamek Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada Rabu mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila harga sahamnya melonjak 93 peratus kepada 96.5 sen pada awal dagangan.
Pada 9 pagi, kaunter itu dibuka pada 61.5 sen iaitu 23 peratus lebih kukuh berbanding harga tawaran 50 sen.
Sebanyak 94.46 juta saham bertukar tangan dalam tempoh satu jam dagangan.
Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Tun Dr Mahathir berkata syarikat berkedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan yang dialami industri automotif memandangkan rantaian bekalan industri terus bertambah baik.
Betamek yang menyediakan penyelesaian perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) kepada pembuat automotif optimis bahawa permintaan terhadap produk audio-visual kenderaan dan aksesori akan terus meningkat.
Ini memandangkan pelanggan utamanya, Perodua, terus mencatatkan lonjakan permintaan terhadap kenderaannya.
“Memandangkan kenderaan hibrid, elektrik dan autonomi memperoleh bahagian pasaran dunia, Betamek berada pada kedudukan unik untuk memanfaatkan aliran pasaran yang semakin berkembang, dan memperluas serta mempelbagaikan penawaran produk dengan penyelesaian yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata masih terdapat banyak peluang yang belum diteroka untuk segmen produk berkaitan dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), hiburan dan kesambungan, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan aksesori kenderaan.
Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd yakin syarikat berusia 32 tahun itu akan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM12.1 juta dan RM17.7 juta masing-masing untuk tahun kewangan 2023 dan 2024, susulan peningkatan permintaan terhadap kenderaan mampu milik.
Firma pembrokeran itu menjelaskan Betamek telah mengadakan perkongsian simbiotik sejak 1994 dengan Perodua, peneraju pasaran dalam industri automotif tempatan, dengan penguasaan pasaran sebanyak 37.4 peratus pada 2021.
Justeru, Rakuten membuat saranan ‘beli’ ke atas Betamek dengan harga sasaran 55 sen sesaham.
Tawaran awam awal (IPO) syarikat penyedia EMS itu meliputi terbitan awam sebanyak 67.5 juta saham baharu mewakili 15 peratus daripada modal saham yang diperbesar, serta tawaran untuk penjualan 45 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui tawaran persendirian.
Daripada 67.5 juta saham baharu itu, sebanyak 22.5 juta saham baharu disediakan untuk orang ramai melalui undian manakala 13.5 juta saham baharu adalah untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak setelah menyumbang kepada kejayaan Betamek di bawah peruntukan borang berwarna merah jambu.
Baki 31.5 juta saham baharu diperuntukkan bagi tawaran persendirian untuk pelabur terpilih.
Hasil daripada IPO itu akan digunakan terutama untuk mendanai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baharu, menambah ruang pejabat R&D, penyimpanan bahan mentah, kemudahan sampingan untuk memenuhi pertumbuhan serta kegiatan R&D masa depan.
Sebahagian hasil juga akan digunakan untuk membeli jentera dan peralatan bagi kilang sedia ada di Rawang, Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial