IPOH, 21 Okt (Bernama) -- Jumlah pengunjung edisi kelima program Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM) 'RIUH BENOR!’ dijangka mencecah 30,000 orang selama tiga hari penganjurannya di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya di sini, berikutan sambutan yang amat memberangsangkan malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Junady Nawawi berkata jumlah itu melebihi sasaran asal 20,000 pengunjung sebelum ini.
"Kami berharap usaha kami di RIUH BENOR! dapat mencapai tujuan dan matlamat untuk kembalikan suasana meriah supaya penggiat industri kreatif dapat terus berkembang di seluruh negara.
"Di samping itu, kami juga bertujuan meraih pulangan kepada vendor dan artis tempatan yang membuat persembahan di sepanjang penganjuran Kembara Riuh," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian RIUH BENOR! di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi Mycreative Ventures Noor Azmi Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
Tinjauan Bernama mendapati walaupun hujan, suasana program tetap meriah dan dibanjiri ribuan pengunjung yang mengenakan baju hujan berwarna-warni diedarkan oleh pihak penganjur.
Ia dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa artis ternama tanah air seperti Jaclyn Victor dan Ruffedge manakala artis lain seperti TUJULOCA dan Ning Baizura bakal tampil membuat persembahan pada hari berikutnya.
Selain itu, Junady dalam kenyataan berkata KRKM yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative (MyCreative), bertujuan memperkasa penggiat dan usahawan industri kreatif tempatan di seluruh negara, selain menghubungkan komuniti kreatif dengan masyarakat.
Beliau berkata penganjuran program itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19.
“Justeru, pemilihan negeri Perak untuk KRKM kali ini amat bertepatan dengan objektif kerajaan kerana negeri ini bukan sahaja tersohor sebagai sebuah negeri kaya dengan warisan budaya dan seni kreatif termasuk rebana Perak, tarian belotah, pelbagai busana menarik, malah turut terkenal dengan pelbagai masakan tradisional seperti nasi lemuni, ikan pindang daun seniar, kebebe dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata seluruh Keluarga Malaysia di Perak dan negeri berhampiran dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada para usahawan dan penggiat kreatif tempatan di RIUH BENOR!.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial