AM

Irmohizam terima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Muslim Global

20/10/2022 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima Anugerah Pancapaian Sepanjang Hayat Kecemerlangan Perniagaan Muslim Global pada Forum Perniagaan Muslim Global 2022 yang berlangsung di sini semalam.

Irmohizam juga merupakan Pengerusi Persidangan dan Pameran serta Ahli Majlis Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA).

WTCKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesungguhan Irmohizam dalam menerapkan teknologi dan inovasi membolehkan WTCKL terus berkembang selain mempercepatkan pertumbuhannya dalam acara perniagaan dan Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

Menurut kenyataan tersebut, ini terutamanya dalam mempromosikan elemen pelancongan mesra Muslim dalam industri berkenaan, sekali gus membolehkan ia memperoleh semula momentumnya seperti semasa prapandemik.

“WTCKL mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Irmohizam atas penghormatan dan pengiktirafan berprestij berkenaan. Pencapaian ini sudah pasti akan membawa WTCKL ke tahap yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Forum Perniagaan Muslim Global itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri Sarawak serta Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Global One dan Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pertanian Islam.

Tema bagi acara tahun ini adalah ‘Kebangkitan Ekonomi Islam Global: Memfokus Semula, Menetapkan Semula dan Memulihkan dalam Era Pasca-Pandemik’.

Forum Perniagaan Muslim Global yang baru diwujudkan itu bermatlamat membina kejayaan sebagaimana Forum Kepimpinan Muslim Sedunia, selain menumpu kepada usaha menggalakkan perkongsian strategik, dialog dan kolaborasi perniagaan bagi membina semula dengan lebih baik perkongsian kemakmuran dan pembangunan mampan.

Selain Irmohizam, turut menerima anugerah sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Datuk Mohamed Medan Abdullah dan Presiden yang juga Naib Canselor Open University Malaysia Profesor Dr Ahmad Izanee Awang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan